Searching...
Saturday 12 October 2013
06:55 0

pemuda maut terjatuh tingkat 14 kondominium/


JATUH

Seorang pemuda maut setelah terjatuh dari tingkat 14 Kondominium Mutiara Perda di sini, selepas bergaduh dengan rakan serumah dalam kejadian pukul 11 malam Jumaat.
Mohd Danial Iqbal Irwanshah, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurut pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP Mohd Nasir Salleh, mangsa dipercayai bergaduh dengan rakan serumah mengenai bayaran sewa rumah mereka. “Dia juga turut memukul lelaki itu. Mangsa kemudian mengurung diri di dalam bilik sebelum bertindak terjun melalui tingkap biliknya,” kata Mohd Nasir ketika dihubungi Bernama.
Katanya rakan serumah mangsa yang mengalami cedera parah terutama di kepala dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilapor stabil. Beliau berkata setakat ini kes disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Sementara itu, adik mangsa Ien Barsyah, 17, berkata dia dihubungi arwah abangnya pada pukul 9 malam yang meminta bantuan berikutan diserang oleh sekumpulan lelaki semasa berada di rumah sewa berkenaan. “Saya terkilan kerana tidak terus datang ketika arwah abang menghubungi saya dan meminta bantuan, saya ada hal lain ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mayat HSJ.
Menurutnya dia kemudian ke rumah sewa abangnya selepas urusannya selesai namun mendapati pintu rumah berkunci.
“Kemudian jiran abang beritahu terdengar pergaduhan dari dalam rumah itu serta seorang daripada penghuninya jatuh dari rumah berkenaan,” katanya menambah dia kemudian bergegas ke bawah dan mendapati abangnya sudah meninggal dunia. -BERNAMA
06:43 0

Wanita Nyaris Maut Terkena Tembakan Di Lampu Isyarat

nurulSeorang wanita berusia 22 tahun nyaris maut terkena tembakan di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Binjai, Kubang Kerian di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian pukul 6.40 petang itu menyebabkan Nurul Atikah Sidek mengalami luka di bahagian hidung, muka serta tangan kanan dipercayai kesan terkena serpihan cermin kereta yang pecah akibat tembakan.

“Terdapat lima kesan tembakan ditemui pada kereta mangsa iaitu dua di cermin sebelah kanan pemandu, satu pada pintu dan dua di cermin hadapan sebelah pemandu.
“Tembakan itu bagaimanapun tidak tepat mengenai mangsa dan penembak kemudian melarikan diri ke arah Bachok dengan motosikal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mazlan berkata ketika kejadian, wanita yang berasal dari Kampung Karang Banggu, Kota Baharu itu sedang memandu kereta seorang diri dari arah Bachok menghala ke Kubang Kerian sebelum berhenti di lampu isyarat itu.
Beliau berkata, kereta jenis Proton Persona itu dihampiri empat individu yang menaiki dua motosikal sebelum seorang daripada pembonceng motosikal itu melepaskan lima das tembakan.
“Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan keadaannya stabil.
“Mangsa memberitahu tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa dan kemungkinan dalam kes ini suspek tersalah sasaran,” katanya. – Bernama
06:41 0

Bunuh Anak Perempuan, Gigit Leher, Makan Mayat Dan Minum Darahnya

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
 Seorang lelaki Papua New Guinea (PNG) yang digelar pontianak ditangkap kerana membunuh anak perempuannya dengan menggigit leher, makan mayat dan minum darah mangsa.
Polis menyifatkan kejadian yang berlaku Rabu lalu di kawasan penempatan berhampiran Lae itu sebagai ‘kanibalisme.’ Akhbar memetik kaunselor tempatan John Kenny, antara mereka yang pertama berada di tempat kejadian sebagai berkata, mangsa yang berusia tiga tahun bersama-sama ibunya mengunjungi bapanya apabila lelaki itu tiba-tiba memeluk anaknya dan melarikan diri ke dalam semak.

Menurut Kenny, lelaki itu kemudian menggigit kanak-kanak berkenaan di leher, menghisap darah mangsa dan memakan dagingnya.
Dua kanak-kanak lelaki yang memanjat pokok kelapa berhampiran dan menyaksikan kejadian itu segera lari untuk meminta bantuan.
“Lelaki itu hanya mentertawakan budak lelaki terbabit sambil menghisap darah dan memakan daging anaknya,” kata Kenny.
Apabila penduduk kampung datang untuk menyiasat, lelaki berkenaan mencampakkan mayat anaknya ke dalam semak lalu melarikan diri ke balai polis untuk menyerah diri.
Amalan sihir dan kanibalisme masih diamalkan sebahagian penduduk PNG.
Tahun lalu, polis menangkap puluhan orang berkait dengan amalan kanibalisme. Mereka dituduh membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang, memakan otak mereka sementara kemaluan mangsa dimasak sup.
Dalam kes lain pada 2011, seorang lelaki dilihat makan bayi lelaki yang baru dilahirkan isterinya dalam satu ritual sihir. – AFP