Searching...
Wednesday 21 August 2013
08:38 0

Nahas Terburuk Sejarah Kemalangan Negara

1013275_649727741706866_963692673_n
Kemalangan yang berlaku jam 2.45 petang tadi apabila bas terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter merupakan yang terburuk bukan sahaja melibatkan kawasan Genting Highlands, malah dalam sejarah kemalangan negara. Setakat jam 9 malam, 37 penumpang telah disahkan maut manakala 16 lagi cedera.
Sesiapa sahaja yang pernah ke pusat peranginan Genting Highlands pasti sedia maklum keadaan muka bumi berbahaya kawasan berkenaan terutama ketika melalui Genting Sempah yang curam dan bergaung. Keadaan ini menyediakan risiko besar berlaku kemalangan terutama apabila suasana gelap atau cuaca kurang baik.
Di bawah, antara kemalangan melibatkan bas yang pernah berlaku di Genting Sempah namun tidak ada yang dapat menyaingi dahsyatnya kemalangan yang berlaku pada hari ini.
15/7/1996
17 orang termasuk 6 kanak-kanak terkorban apabila bas yang dinaiki terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands.
31/12/1996
Seramai 30 orang cedera apabila sebuah bas menuju ke Kuala Lumpur terbabas ke dalam gaung di KM4 dekat Tokong Chin Siew di Genting Highlands semasa sedang menuruni bukit peranginan itu.
14/11/1999
Seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dari Singapura terbunuh apabila sebuah bas yang dalam perjalanan ke Singapura, terhumban ke dalam gaung di Genting Highlands.
20/9/2003
Seorang terbunuh manakala 13 cedera termasuk 2 parah apabila sebuah bas membawa 43 penumpang terbalik dan terhumban ke dalam gaung sedalam 30 meter di Kilometer 19, Genting Sempah. Bas tersebut membawa rombongan dari Ipoh, Perak melawat Genting Highlands selama dua hari satu malam. Kemalangan berpunca daripada masalah brek.
20/11/2006
3 pegawai Provincial Electricity Authority of Thailand (PEA) terbunuh apabila bas dua tingkat yang dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands di KM13, Jalan Genting Highlands-Batang Kali.
3/6/2008
2 penumpang sebuah bas persiaran maut manakala 41 yang lain cedera apabila bas yang dinaiki terbabas lalu terjunam 9 meter ke dalam gaung diKM 22.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
2/9/2010
18 orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di KM35.1 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands.
29/10/2010
7 maut, 17 cedera parah dan 22 cedera ringan dalam kemalangan bas pelancongan di KM38, Genting Sempah. Mangsa yang maut termasuk ketua rombongan, Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, yang juga seorang guru agama. Kesemua mangsa terdiri daripada 44 anggota rombongan belia Kampung Baru Siong, Baling, Kedah. Ketujuh-tujuh jenazah dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Kampung Baru Siong. Kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah brek, ketika bas menuruni Genting Sempah kira-kira pukul 7.50 malam.
5/3/2012
2 pelancong warga India maut manakala 20 lagi penumpang cedera apabila bas pelancong terbalik di kawasan bahu jalan di Kilometer 4.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ketika dalam perjalanan menuju ke ibu negara dari Genting Highlands jam 8 pagi. Bas pelancong berkenaan yang membawa 22 penumpang warga India, pemandu dan kelindan, terbabas ketika menuruni kawasan bukit dan memasuki selekoh tajam. Bas berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terlanggar pembahagi jalan sebelum terbalik. Kejadian dipercayai berpunca daripada keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat sejak awal pagi.
Sumber : Mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment