Searching...
Monday 9 September 2013
14:51 0

Lelaki terlibat kemalangan miliki pistol tiruan

MELAKA - Seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan di Bukit Duyong, di sini awal hari ini ditahan selepas sepucuk pistol dan satu kelopak peluru tiruan ditemui di dalam kereta BMW dipandunya yang juga merupakan kenderaan curi.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka,  Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, senjata berkenaan dijumpai anggota bomba ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa berusia 45 tahun itu dalam kejadian jam 3.45 pagi.
   
Beliau berkata, polis turut menjumpai satu plastik merah berisi sebiji pil eramin 5 di dalam poket seluar mangsa hasil pemeriksaan ke atas mangsa yang berasal dari Melaka Perdana Resort, Ayer Keroh di sini.
   
"Kenderaan BMW tersebut sebelum ini dilaporkan hilang di Bandar Baru Klang dan didapati menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
   
Beliau berkata, polis turut menemui satu pas Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri atas nama individu lain yang dipercayai palsu.
 
Mengulas lanjut, Raja Shahrom berkata, mangsa yang kini dirawat di Hospital Melaka mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala selepas kenderaan yang dipandunya dari arah Bukit Katil ke pusat bandar raya itu terbabas dan melanggar sebuah kereta sebelum hampir melanggar dinding sebuah rumah di lokasi kejadian.
   
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki yang berasal dari Melaka itu mempunyai dua rekod lampau iaitu kes dadah mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1962 dan kes tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
   
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang pekerja sebuah bengkel perabot berusia 24 tahun yang terlibat dalam beberapa kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kampus Bandaraya Melaka.
   
Raja Shahrom berkata, lelaki terbabit ditahan di Terminal Bas Salak Selatan Kuala Lumpur ketika turun dari bas Jumaat lepas jam 5.30 petang dan suspek sebelum ini pernah dipenjarakan selama enam bulan pada 2011 kerana kes cabul kehormatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
   
Hasil siasatan lanjut polis menemui sebuah kenderaan jenis MyVi, empat telefon bimbit dan sebuah komputer riba dipercayai milik pelajar UiTM itu, katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment