Searching...
Tuesday 19 November 2013
03:31 0

Pengawal Keselamatan Didakwa Bunuh Pegawai AmBank




PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan warganegara Indonesia pada Selasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh dan melepaskan tembakan kepada seorang pegawai AmBank Subang Jaya, bulan lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada La Ode Ardi Rasila, 36, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Norazita Abu Talib, 37, di dalam bangunan AmBank No. 5 dan 7, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya di sini antara 6 petang hingga 6.30 petang, 23 Okt lepas.
La Ode yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan itu didakwa mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan dari senjata api jenis ‘pump gun’ dengan niat menyebabkan kematian kepada Norazita pada tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
K.B. Elina memerintahkan kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam serta-merta selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.
Kes melibatkan hukuman mati merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun dan Mohd Asyraf Md Kamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Seawal jam 8 pagi mahkamah dipenuhi media, jurugambar dan orang awam bagi mengikuti kes itu.
Dalam kejadian pada 23 Okt, Norazita maut ditembak seorang pengawal keselamatan yang bertugas di bank itu ketika dia membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu.
Lelaki itu melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.
Pada 11 Nov, polis menemui senjata api jenis ‘pump gun’ yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu, di dalam sebuah longkang di Jalan Subang 2, Taman Perindustrian Subang, tidak jauh dari bank berkenaan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment