Searching...
Friday 2 January 2015
00:30 0

Pesawat AirAsia QZ8501 Mendarat Atas Air

Pesawat-Airasia-QZ85011

Beberapa pakar penerbangan percaya juruterbang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang atau terputus hubungan dengan menara kawalan pada hujung minggu yang lalu berjaya melakukan pendaratan cemas di atas air tetapi kapal terbang berkenaan tenggelam selepas dilanda ombak besar membuatkan semua penumpang gagal menyelamatkan diri.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura itu juga tidak mengeluarkan sebarang isyarat kecemasan yang biasanya diaktifkan apabila sesebuah kapal terbang terhempas atau tenggelam di dalam air.
Editor kanan majalah penerbangan Angkasa, Dudi Sudibyo menyatakan Iriyanto seorang juruterbang yang berpengalaman dan ada kemungkinan dia berjaya membuat pendaratan di atas permukaan laut.
“Pemancar Pengesan Kecemasan (ELT) akan diaktifkan jika ada impak yang kuat sama ada di darat, laut atau di lereng gunung. Saya percaya ELT tidak diaktifkan kerana tidak ada impak yang kuat semasa pendaratan dibuat.
“Namun, semua ini dapat disahkan jika kotak hitam yang mengandungi data penerbangan dan rakaman suara kokpit dapat dijumpai,” katanya.
Beberapa pakar penerbangan yang merujuk data radar percaya pesawat tersebut terhenti ketika penerbangan atau ketika mendaki untuk mengelak cuaca buruk.
Pesawat Airbus A320-200 dipercayai mengalami aerodynamic stall kerana terbang terlalu perlahan atau mendaki terlalu menegak.
Sehingga semalam, pasukan penyelamat sudah menemui sembilan mayat yang masih sempurna termasuk seorang yang memakai jaket keselamatan dan serpihan kapal seperti pintu pesawat serta gelongsor kecemasan.
Bekas komander tentera udara Indonesia, Chappy Hakim percaya pesawat itu tidak berkecai di udara atau mengalami kerosakan yang teruk ketika mendarat di permukaan laut.
“Jika pesawat ini berkecai di udara atau terhempas dengan kuat di laut, tidak mungkin mayat yang dijumpai masih dalam keadaan sempurna.
“Badan pasawat juga tidak berkecai selepas imej sonar berjaya mengesan satu objek besar di dasar Laut Jawa tidak jauh dari lokasi serpihan dan mayat dijumpai,” ujarnya.
Bekas Menteri Pengangkutan Indonesia, Jusman Syafii Djamal pula yakin penemuan pintu kecemasan dan gelongsor boleh kembung menunjukkan ada penumpang memulakan proses keluar dari pesawat sebaik ia mendarat di laut.
“Kemungkinan ketika penumpang sedang menunggu kru mengisi angin pada rakit keselamatan, satu ombak besar telah membadai muncung pesawat menyebabkan pesawat itu terus tenggelam,” ujarnya.
Mengikut standard keselamatan penerbangan, semua penumpang perlu dikeluarkan daripada pesawat dalam tempoh 90 saat selepas sesebuah kapal terbang membuat pendaratan cemas.

0 comments:

Post a Comment