KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memperuntuk pemberian bonus dua bulan dan menaikkan beberapa elaun tetap termasuk perumahan dan sara hidup kepada 1.4 juta penjawat awam dalam Bajet 2014.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan perlu memberi bonus dan kenaikan elaun itu berikutan peningkatan kos sara hidup terutamanya setelah subsidi petrol dikurangkan baru-baru ini.
Menurutnya Cuepacs amat berharap imbuhan tetap perumahan dinaikkan mengikut gred setelah 15 tahun berada pada paras sama selain mengambil kira ketidakmampuan golongan rendah dan sederhana memiliki rumah berikutan harga semakin meningkat kini.
Cuepacs turut memohon elaun sara hidup (Cola) antara kawasan bandar dan luar bandar diselaraskan kepada RM300 kerana kos sara hidup di semua kawasan tidak banyak berbeza.
Kongres itu juga mahukan kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus berikutan kenaikan harga rumah.
Sementara itu, Omar berkata, Cuepacs menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengenai pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan sederhana yang dijangka diumum dalam bajet kali ini.
Bagaimanapun, Omar berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak mekanisme subsidi kepada golongan itu kerana mereka tidak layak menerima bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikmati golongan berpendapatan rendah.
“Sudah tentu ini berita gembira buat kita jika ia diumumkan. Namun, kita berharap lebih banyak bantuan atau subsidi lain diumum untuk penjawat awam,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membentangkan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment