Gelang Patah: Aktiviti persundalan membabitkan wanita warga asing didalangi sindiket tertentu dibongkar Jabatan Imigresen hasil pemeriksaan di dua rumah di Taman Nusa Perintis di sini, jam 1.30 pagi semalam.
Dalam serbuan itu, 35 individu diperiksa dan lapan lelaki serta dua wanita warga Nepal berusia 24 hingga 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Semua warga Nepal yang ditahan terbabit dengan aktiviti persundalan selain melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Ketua Penyelaras Operasi Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, ketika serbuan, dua wanita Nepal dengan pasangan masing-masing itu asyik memadu asmara di dalam dua bilik di sebuah daripada rumah terbabit.
“Pemeriksaan lanjut menemui kondom, ubat kuat dan pil perancang disediakan sindiket untuk kegunaan pelanggan.
“Sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan itu hanya kepada lelaki warga asing dengan bayaran tertentu. Bagi mengelak lokasi persundalan dihidu pihak berkuasa, sindiket memilih rumah di pinggir bandar yang dirasakan selamat.
“Ada kalangan pelanggan datang dari luar kawasan ini, pelanggan akan menghubungi ahli sindiket sebelum dijemput di lokasi dijanjikan sebelum dibawa ke rumah itu,” katanya.
Masri berkata, pasangan yang ditahan juga mengaku mereka bukan suami isteri sebaliknya rakan sekerja.
Menurut Masri, pihaknya percaya masih ada lagi premis disewa warga asing dijadikan pusat persundalan.
Operasi yang tamat jam 4 pagi itu diketuai Ketua Operasi Zon Selatan Jabatan Imigresen Timbalan Penolong Pengarah Kanan Anuar Zainal serta 12 anggota juga pegawai.
Masri juga kesal kerana masih ada penduduk tempatan atau pemilik premis menyewa premis mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Warga tempatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang yang ditemui di premis,” katanya.
Semua warga Nepal yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan sah.
0 comments:
Post a Comment