“Selama lebih 30 tahun bergelar isteri, saya banyak bersabar dengan kerenah suami yang langsung tidak mempedulikan rumah tangga dan kerap menghilangkan diri ke negara jiran.
“Kami seolah-olah terputus hubungan. Dia langsung tidak menelefon apatah lagi pulang menyambut Aidilfitri bersama sejak lima tahun lalu. Tiba-tiba dia pulang dan membuat pengakuan sudah beristerikan jin ketika menuntut ilmu di negara berkenaan,” kata Norehan, 58.
Warga emas itu tampil membuat pendedahan selepas tidak tahan hidup bersama suami yang mengamalkan sihir selain meninggalkannya bersama dua anak menguruskan kehidupan sendiri di tanah air.
Katanya, dia terkejut besar apabila mengetahui suaminya benar-benar menuntut ilmu songsang termasuk mengaku bernikah secara batin dengan jin di luar negara.
“Sejak dia pulang saya sedar perubahannya. Dia kerap berbuat baik dan sering meminta layanan lebih di bilik tidur tidak kira siang mahupun malam.
“Begitupun saya mula mengesyaki perkara menakutkan apabila dilayan kasar setiap kali hubungan seks hingga terpaksa menyerah dalam keadaan menekup muka kerana tidak tahan melihat mukanya,” katanya yang membuat aduan kepada Pengarah Kebangsaan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Nurul Aini Yausoff di sini, minggu lalu.
Berikutan tidak tahan diperlakukan begitu, Norehan nekad meminta penjelasan sebelum rahsia suaminya terbongkar satu demi satu.
“Saya bukan saja dipukul, malah suami sanggup mengherdik saya di depan anak-anak hanya kerana perkara kecil termasuk ketika saya menyuruhnya bersolat dan puasa.
“Sedangkan sebelum ke negara jiran, dia boleh dibawa berbincang, bertolak ansur serta rapat dengan anak-anak,” katanya.
Norehan berkata, akibat terlalu taasub dengan ilmu songsang dituntut, suaminya bertukar menjadi aneh.
“Sejak menuntut ilmu pelik, dia selalu bercakap seorang diri dan merayu untuk bersama setiap hari. Paling menakutkan ada ketikanya dia merenung saya dengan mata kemerahan serta mengikut gerak geri saya tanpa jemu.
“Saya menjadi tambah bingung selepas kerap terjumpa barangan pelik seperti kain kuning dan botol dalam beg sandang suami. Anak-anak pula tunduk pada setiap kemahuannya,” katanya.
Selain itu, Norehan berkata, suaminya juga tidak betah di rumah dan hanya mampu bertahan kira-kira tiga jam sehari sebelum menghilang ke kedai kopi dan berbual panjang hingga ke awal pagi.
“Saya hanya bimbangkan dia. Kami bukannya muda lagi dan saya tidak mahu dia berterusan begitu selepas kami berpisah nanti,” katanya yang memohon khidmat nasihat untuk menuntut fasakh.
Sementara itu, Nurul Aini berkata, semakan pihaknya mendapati, Norehan sudah beberapa kali hadir di mahkamah, tetapi kes berkenaan tidak dapat diselesaikan kerana dia tidak diwakili peguam.
sumber:Mummynemo.com
0 comments:
Post a Comment