KLUANG – Meskipun baru berkenalan kira-kira lebih sebulan lalu, sepasang kekasih berani berdua-duaan di sebuah hotel bajet sekaligus mencemarkan sambutan Maal Hijrah.
Bagaimanapun, lelaki berusia 28 tahun bersama teman wanitanya berumur 25 tahun itu dicekup Bahagian Penguatkuasa dari Pejabat Agama Islam Johor Daerah Kluang di sebuah hotel bajet di Jalan Renggam-Kluang, di sini, awal pagi semalam.
Lelaki tersebut yang berasal dari Felda Kahang Timur, di sini, manakala pasangannya dari Segamat itu ditahan sempena Ops Cegah Maksiat sempena Maal Hijrah selepas berkhalwat di hotel bajet di Sri Lalang, di sini.
Anggota ops yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki terbabit membuka pintu.
101 IDEA BUAT DUIT DARI RUMAH! CEPAT BACA PERCUMA DISINI !
Hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tanpa berpakaian bersembunyi dalam bilik air berdasarkan pakaian yang dilonggokkan di tepi katil dalam bilik berkenaan.
Anuar berkata, ketika soal siasat dijalankan, lelaki itu memberi alasan bahawa dirinya risaukan keselamatan pasangannya kerana tinggal bersendirian di rumah sewa terbabit malah sering diganggu oleh individu lain.
Menurutnya, alasan diberi lelaki itu tidak berjaya mengubah pendirian pihaknya untuk melepaskan pasangan berkenaan daripada ditangkap.
“Masalah seperti ini sering dilakukan oleh anak muda sekarang terutama sekali apabila berjauhan dengan ibu bapa dan tiada kawalan. Dengan hanya pertemuan sebulan, mereka telah berani untuk diajak bermalam ke bilik hotel.
“Perkara seperti ini sepatutnya dipantau oleh keluarga mereka dan bukannya membiarkan mereka bebas tanpa sebarang pengawasan walaupun pada hakikatnya mereka telah cukup dewasa untuk berfikir sendiri buruk baiknya apa yang ingin dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Anuar berkata, pasangan terbabit didakwa di bawah Seksyen 27(1)(a)(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Jelasnya, pasangan ini turut dibawa ke balai polis Kluang untuk membuat laporan dan dijamin oleh keluarga masing-masing.
“Mereka diminta untuk datang semula ke Pejabat Agama untuk dibicarakan di mahkamah,” katanya.
Operasi yang bermula jam 11 malam dan berakhir jam 3 pagi itu turut disertai Pejabat Daerah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Kastam dan PDRM. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment