Searching...
Monday 18 November 2013
15:05 0

Rakam sendiri video berita



KETUA Koresponden Antarabangsa dari Cabel News Network (CNN), Christiane Amanpour pernah berkata, wartawan yang luar biasa adalah mereka yang sanggup merisikokan nyawa sendiri demi menyampaikan berita yang luar biasa.
Beliau menyampaikan ucapan penuh emosi tersebut pada majlis Anugerah Kewartawanan Satria Antarabangsa 2012 yang berlangsung awal tahun ini.
Katanya, wartawan bukan sekadar keluar mencari dan menulis berita tetapi usaha mereka seharusnya mampu mengajar masyarakat tentang sistem pemerintahan, nilai-nilai kemanusiaan dan mendidik masyarakat menjadi bangsa yang kuat.
Kepada koresponden TV3 di England, Haliza Hashim Doyle, pengalaman selama dua dekad berkhidmat di England banyak mendedahkannya tentang pengalaman baharu. Meskipun tanpa berlatar belakang dalam dunia kewartawanan, ibu kepada dua anak yang mesra dengan panggilan Haliza itu membenarkan kata pepatah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Mengimbas pembabitan awalnya, figura dunia penyiaran itu bertugas di England sejak tahun 1993 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai wartawan di TV3. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke England kerana sudah lama berhajat untuk bekerja di sana. Haliza memberanikan diri bertanya kepada pihak pengurusan sama ada berminat untuk menjadikannya koresponden di England.
"Saya sedar bahawa saya tidak banyak pengalaman bekerja, tetapi saya tetap beranikan diri bertanya adakah bos mahu saya jadi koresponden di England?" cerita Haliza.
Takdir menyebelahinya apabila majikan Haliza bersetuju dengan cadangan tersebut. Berhijrah ke luar negara dan menjadi koresponden bermakna Haliza perlu menguruskan segala-galanya sendiri.

HALIZA bersama anak perempuannya, Emma Suraya Doyle, 18 (kiri), suaminya, Jonathan Doyle dan anak lelakinya, Edward Iskandar, 15 pada sambutan hari raya lalu di Kemensah, Kuala Lumpur.


Beliau bekerjasama dengan jurukamera agensi berita antarabangsa Reuters untuk menghasilkan visual yang dikehendaki. Hari ini, pengalaman yang diperoleh selama dua dekad membolehkan Haliza merakam visual, menulis dan menyunting berita tersebut tanpa bantuan sesiapa.
Pihak syarikat akan membayar gaji mengikut berita yang dihasilkan. Bagi melancarkan urusan pekerjaannya, Haliza akan bertanya kepada pihak syarikat sama ada dia perlu atau tidak membuat liputan satu-satu tugasan di London.
Kebanyakan liputan yang dibuat adalah hal-hal yang berkaitan dengan Malaysia seperti lawatan rasmi kerajaan Malaysia, persidangan yang diwakili negara, isu semasa melibatkan Malaysia dan keputusan pilihan raya yang diperoleh melalui undi pos di England.
Sumbang berita
"Saya perlu tanya pejabat di Kuala Lumpur sebelum buat liputan supaya tidak membazir masa dan tenaga. Kadang-kadang isu yang kita nak buat itu sudah disiarkan.
"Kalau menteri datang untuk lawatan rasmi ke England, saya perlu tahu jadualnya secara terperinci untuk mendapatkan nilai berita yang sesuai disiarkan," jelas Haliza yang dilahirkan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan dibesarkan di Rawang, Selangor.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Haliza meneruskan pengajian Diploma Perniagaan di Institut Teknologi Mara dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Cardiff di Wales, England dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Menurut Haliza, dia tidak pernah bercita-cita menjadi wartawan tetapi jatuh cinta dengan kerjaya tersebut selepas menyumbangkan artikel untuk akhbar pelajar di Universiti Cardiff.
Semasa mengikuti pengajian ekonomi di sana, beliau memilih beberapa subjek elektif seperti media, kaji jenayah dan undang-undang jenayah.
Sebaik menamatkan pengajian, Haliza mencuba nasib untuk menjadi wartawan di TV3. Ketika itu, terdapat beratus calon temu duga lain yang hadir dan hanya 14 daripada mereka berjaya diserap untuk berkhidmat di TV3.

ISTERI Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor ditemu bual Haliza sewaktu beliau melakukan lawatan ke sekolah di Islington, London.


"Saya ingat lagi sewaktu ditemu duga, panel penemuduga bertanya tentang politik di England dan hal berkaitan Perang Teluk. Kebetulan saya baru pulang dari sana, dapatlah saya jawab soalan tersebut, agaknya sebab itu saya diterima," kata Haliza sambil berseloroh.
Sepanjang berkhidmat menjadi koresponden, Haliza melibatkan diri dalam pelbagai bentuk persatuan untuk membina rangkaian dan kenalan baik dengan semua golongan masyarakat.
Jika terpaksa membuat liputan di Eropah pula, beliau akan menggunakan perkhidmatan agensi tempatan di sana. Kadang-kadang, Haliza tanpa segan silu mendekati pengamal media tempatan yang dikenalinya.
Kebanyakan wartawan di England mampu melakukan pelbagai tugas seperti membuat liputan mengenai fesyen, politik dan perniagaan. Haliza mengakui bahawa tidak semua perkara diketahuinya, jadi beliau akan menghubungi kenalan yang boleh membantunya mendalami isu berkenaan.
Ketika ditanya mengenai pengalaman manisnya sepanjang bergelar wartawan penyiaran, Haliza merupakan seorang yang mudah gembira dengan tugasannya.
Baginya, kenangan manis adalah apabila beliau dapat menemu bual orang yang sukar ditemui.
"Saya ingat lagi yang saya bekerja pada hari raya pertama Aidilfitri semasa tahun pertama berkhidmat di TV3 (tahun 1991). Saya kena buat liputan pada sebelah pagi di rumah terbuka Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pada petang tersebut hujan turun lebat, terpaksalah saya bergegas buat liputan dalam air.
"Wartawan hari ini tak boleh bagi alasan tidak buat rujukan sebelum keluar tugasan kerana semuanya boleh dicapai melalui internet. Pada hari anda hilang minat dalam dunia ini, baik berhenti sahaja kerana ia sudah tidak membawa manfaat lagi," pesannya kepada wartawan baharu menceburkan diri dalam dunia tersebut.
Sepenuh hati
Haliza tidak lokek berkongsi pengalaman kepada golongan pelapis. Wartawan perlu melakukan pelbagai tugas walaupun dicampak ke agensi surat khabar, penerbitan majalah mahupun televisyen.
Pada pandangan beliau, rata-rata wartawan baharu sekadar bekerja dan pulang ke rumah usai menyiapkan tugasan. Namun, tidak ramai yang melaksanakan tugas mereka sepenuh hati.

UNIK. Pondok telefon awam dijadikan perpustakaan mini di Little Hadham, Hertfordshire di England.


Menurut Haliza, wartawan generasi terdahulu perlu banyak berusaha kerana tiada kemudahan seperti internet. Hari ini, semuanya di hujung jari dan hanya sedikit usaha diperlukan untuk berjaya.
Haliza sempat berkongsi kisah sahabat baiknya yang berjaya menjadi wartawan walaupun tanpa latar belakang dalam bidang komunikasi massa.
"Sahabat saya adalah seorang guru tapi berjaya diserap menjadi wartawan di TV3. Dia lebih berjaya disebabkan kerja kerasnya.
"Dia merupakan individu yang menubuhkan stesen TV AlHijrah dan sampai sekarang saya dan kawan-kawan lain panggil beliau dengan gelaran cikgu," ujarnya yang pulang ke Malaysia selama sebulan setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri. Cabaran lain yang biasa dihadapinya ialah ketinggalan berita dan Haliza tidak akan senang duduk selagi hasil kerjanya tidak disiarkan.
Menurut Haliza, kedua-dua ibu bapanya menggalakkan anak-anak untuk menguasai bahasa Inggeris kerana menyedari kepentingan bahasa tersebut yang digunakan secara global.
Galakan tersebut menjadi pendorong kepada Haliza untuk meneruskan pengajian di negara penutur asli bahasa itu. Pada masa sama, hidup terasing dari Malaysia tidak langsung menghilangkan kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Melayu.

SUMBER:kosmo online

0 comments:

Post a Comment