Searching...
Wednesday 13 November 2013
04:29 0

Tarif Elektrik Dijangka Naik Tahun Hadapan

Tarik Elektrik Dijangka Naik Tahun Hadapan


TARIF elektrik dijangka dinaikkan selewat-lewatnya pada Januari atau Februari tahun hadapan.
Pengumuman mengenainya dijangka dibuat dalam tempoh terdekat.
Untuk rekod, tarif elektrik sedia ada adalah berdasarkan harga gas yang telah ditetapkan kerajaan iaitu RM13.70 setiap juta metrik unit termal British (mmBTU).
Sementara Petronas pula perlu membeli gas di pasaran pada harga RM42 mmBTU ke atas, iaitu kira-kira dua atau tiga kali ganda daripada harga yang ditetapkan kerajaan.
Tekanan itu menyebabkan penyelarasan tarif elektrik perlu dilakukan.
Waktu ini, TNB bergantung sebanyak 70 peratus gas bagi menjana elektrik sementara bakinya diperoleh daripada arang batu dan hidro.
Setakat ini, TNB telah memberi beberapa maklumat termasuk mengenai peningkatan harga gas asli cecair (LNG) kepada kerajaan yang memungkinkan penyelarasan tarif elektrik dilakukan.
Menurut sumber, setiap subsidi tiga ringgit yang dikurangkan oleh Petronas mendorong kepada 1.6 sen peningkatan pada kadar tarif.
” Yang pasti kenaikan ini tidak dapat dielakkan lagi,” menurut sumber itu kepada Mynewshub.my.
Untuk rekod, TNB sebelum ini memberi jaminan bahawa cadangan tarif elektrik baharu tidak akan membebankan jika diperkenalkan kelak kerana ia masih melindungi kepentingan sebahagian besar pengguna.
Pada Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd berkata, lebih 50 peratus pengguna domestik iaitu kira-kira empat juta pengguna tidak akan menerima kesan daripada penyelarasan tarif elektrik baharu itu, yang setakat ini tiada sebarang tarikh penguatkuasaan diberikan.
Malah katanya, caj pengguna elektrik di bawah 200 kilowatt jam (kWh) sebulan atau bersamaan RM70 sebulan tidak akan terjejas dalam cadangan penyelarasan tarif baharu itu.
“Tidak akan ada peningkatan berganda di dalam tarif elektrik baharu yang akan membebankan pengguna, sebaliknya sebahagian besar pengguna domestik tidak terkesan daripada pelarasan itu,” katanya.

sumber:mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment