Searching...
Monday, 18 November 2013
01:23 0

Kanak-kanak penuhi kafe siber

cf

ALOR SETAR – Kebanyakan pusat kafe siber di sekitar bandaraya Alor Setar diserbu pelanggan setia terutamanya sejak musim cuti sekolah bermula, kelmarin.

Tinjauan mendapati selain orang dewasa, kanak-kanak seawal usia 7 hinggalah 12 tahun yang dipercayai datang secara berkumpulan leka bermain permainan komputer.

Ahmad, 10, berkata, dia datang bersama rakan-rakan hanya untuk bermain komputer hampir setiap hari, tanpa melayari laman web lain.

“Kebiasaannya, saya mendapat keizinan dari ibu bapa untuk datang bermain di kafe siber ini. Lagipun, ia lebih baik dari merayau-rayau di merata tempat.

“Saya dan rakan-rakan akan ke kafe siber untuk bermain permainan komputer semata-mata. Kami akan berlawan ‘game’ perang antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah ponteng sekolah semata-mata untuk ke kafe siber, sebaliknya mereka bermain permainan komputer demi menghabiskan masa lapang terutamanya musim cuti ini.

Manakala Asyraf, 12, yang ditemani adiknya Haikal, 8, berkata, mereka biasanya menghabiskan masa tiga hingga empat jam, malah kadang-kala lebih lama.

“Antara permainan komputer paling digemari kami adalah perang dan perlawanan seperti Street Fighter, Metal Mayhem dan Sniper Team kerana ia menyeronokkan,” katanya.

Hamidi Zainal, 45, berkata, dia tidak menghalang sekiranya anak-anak ingin berkunjung ke kafe siber, namun haruslah berwaspada supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat seperti melayari laman web lucah.

Bagaimanapun, katanya, dia sering memantau aktiviti harian dilakukan anak-anaknya setiap hari tak kira secara langsung mahupun tidak langsung supaya anaknya tidak terlalu obses terhadap sesuatu benda kerana ia dilihat membazir – Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment